Mungkin kebanyakan kita pernah terbaca atau terdengar ungkapan ayat-ayat ini yang mana dengan penuh keyakinan kita menyokong dan menyetujuinya. Namun, pernahkah kita terfikir sejenak dan sedalam-dalamnya sejauh mana makna dan maksud yang terkandung dari ungkapan ini.
Jika diselidiki, kebanyakan yang mengungkapkan ayat-ayat ini, terdiri daripada remaja yang pernah mengalami kekecewaan dalam cinta makhluk, ataupun ada juga remaja yang mengungkapkan ayat-ayat ini untuk menenangkan hati mereka sendiri, dek kerana lonjakan dan galakan jiwa remaja yang sedang bergelodak, ibarat api yang sedang membara, dan ayat-ayat ini dijadikan sebagai air untuk memadamkan api tersebut.
Secara umumnya, ayat-ayat ini tiada masalah sedikit pun dari segi maknanya, namun sedikit penelitian perlu diambil perhatian agar ayat yg mempunyai isi kandungan yang baik ini, tidak disalahertikan, bahkan lebih bahaya, jika digunakan di tempat yang salah.
Satu kata-kata disandarkan kepada Ali bin Abi Talib R.A:
كَلِمَةُ الْحَقّ يُرَادُ بِهَا الْبَاطِلُ
“Perkataan kebenaran yang dimaksudkan (diinginkan) kebatilan”
Maksud asal ungkapan itu benar dan tepat dari segi syarak, namun maksud orang yang melafazkannya adalah di luar landasannya.
Sama-sama kita renungkan dalil-dalil berserta penerangan yang akan dibentangkan di bawah, bagi merungkai kebuntuan dan salah faham berkenaan Ayat-Ayat Cinta di atas.
عن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه و سلم قال :
(( لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُه أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا... ))
Daripada Anas b. Malik, daripada Nabi SAW telah bersabda:
(Seseorang kamu tidak beriman (masih tidak sempurna iman) sehingga Allah dan RasulNYA lebih disayanginya (dicintainya) daripada apa yang selain kedua-dua itu (Allah dan RasulNYA)…)
[Musnad Ahmad No.13991, Sheikh Shu’aib Al-Arnouth menilai: Isnadnya Sahih mengikut Syarat Al-Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menerangkan dengan jelas keutamaan untuk meletakkan Cinta dan Kasih Sayang kita kepada Allah dan RasulNYA melebihi segala-galanya, namun perlu diperhatikan Nabi SAW meletakkan rangkaian iaitu mencintai Allah (didahulukan) dan kemudian RasulNYA, bermaksud Baginda SAW mengingatkan kita supaya tidak pernah memutuskan dua rangkaian ini dalam perasaan cinta dan kasih sayang kita. Ibarat lagu dan irama, kedua-duanya tidak boleh sama sekali dipisahkan, jika dipisahkan juga pincanglah kehidupan dan cacatlah kesempurnaan iman kita kelak.
Sebagaimana dua kalimah syahadah yang sentiasa diucapkan di bibir kita, turut merangkaikan dua penyaksian bagi melengkapkan keISLAMan kita;
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلـٰهَ إِلَّا الله، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسَولُ اللهِ
“Aku bersaksi bahawa Tiada tuhan (yang layak disembah) kecuali Allah (sahaja), dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah”
Justeru, Ayat-Ayat Cinta di atas, perlu sedikit dibaik pulih agar sesuai dan berketepatan dengan hadis dan anjuran Nabi SAW iaitu merangkaikan Cinta Allah dengan Cinta RasulNya.
Beberapa persoalan timbul, adakah Cinta Allah dirangkaikan dengan Cinta RasulNYA tidak boleh mempunyai kaitan dengan cinta kepada makhluk?
Adakah benar, Cinta Allah dan RasulNYA perlu disempurnakan terlebih dahulu, sebelum mendapatkan cinta makhluk?
Cuba kita singkapkan kembali sejarah penciptaan manusia, Allah menciptakan Adam pada mulanya, dan diciptakan Hawa selepas itu sebagai teman hidupnya, dimasukkan fitrah cinta dan kasih sayang sesama mereka. Oleh itu, perasaan yang kita miliki turun temurun ini bukanlah satu kesalahan atau dosa, bahkan semuanya untuk kebaikan dan kepentingan diri kita sendiri.
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجاً لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
(Ar-Rum, ayat 21)
Namun setiap kebaikan mampu menjadi keburukan jika disalah aplikasinya, ibarat seorang mekanik motor yang mempunyai kemahiran tinggi, menggunakan kepakarannya untuk mengubahsuai motor bagi kegunaan mat rempit, maka berubahlah manfaat kepada mudarat. Demikianlah juga cinta kepada makhluk, fitrah untuk manfaat, bukan fitnah untuk mudarat, yang penting mengikut saluran yang betul dan garis panduan yang telah Allah dan RasulNYA tetapkan.
Untuk persoalan kedua, akan terjawab dengan persoalan ini, adakah kita berkemampuan mendapatkan Cinta Allah dan RasulNYA secara sempurna sepenuhnya, bukankah manusia tidak pernah sunyi daripada membuat dosa?! Bahkan dikuatkan lagi dengan hujjah bahawa tahap keimanan kita juga ada turun dan naik sebagaimana air pasang surut, dan itu juga lumrah yang Allah ciptakan kepada kita.
Dalam Surah Ali-Imran, ayat 31:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu semua (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (sunnah-sunnahku), niscaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat ini jelas menerangkan, perkaitan antara Cinta Allah dan RasulNYA, bermula dari mencintai Rasulullah SAW dengan mengikuti sunnah-sunnah Baginda SAW tanpa mempertikaikan atau mempersoalkan apabila jelas kebenarannya. Jika hal ini dilaksanakan dengan penuh perhatian, dengan sendirinya Allah akan mencintai dan mengasihi kita, tanpa kita perlu mengungkapnya dengan Ayat-Ayat Cinta di atas, bahkan Allah memberi bonus yang lebih hebat, iaitu dijanjikan pengampunan dosa, sebagai ganjaran besar kerana mengikut sunnah RasulNYA.
Kesempurnaan Cinta Allah dan RasulNYA adalah mustahil, namun mendahului Cinta Allah dan RasulNYA adalah perlu, inilah maksud hadis yang telah diterangkan sebentar tadi dan ayat di atas ini bahawa setiap yang kita lakukan di dunia ini adalah sebagai bekalan di akhirat dan mestilah berpandukan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diwahyukan oleh Allah SWT, itulah bukti besar Cinta kita kepada Allah dan RasulNYA, tanpa melebihkan sesuatu selain kedua-duanya.
Secara ringkasnya, Cinta Allah akan diperolehi dengan sendirinya, jika Cinta RasulNYA dititikberatkan sepenuh hati. Insya Allah.
APAKAH PULA KAITAN CINTA ALLAH DAN RASULNYA DENGAN CINTA MAKHLUK?
Begitulah halnya kaitan dengan cinta makhluk, disebut dalam satu hadis berkenaan tiga orang yang datang bertanya isteri-isteri Nabi SAW berkaitan hal ibadah Baginda SAW di rumah, selepas mendengar hal tersebut, mereka mula berfikir bahawa Nabi SAW yang telah diampunkan segala dosa, begitu kuat ibadahnya, bagaimanalah nasib mereka jika dibandingkan dengan Nabi SAW, lantas salah seorang dari mereka mengatakan bahawa akan solat sepanjang malam (tanpa tidur) selama-lamanya, seorang lagi mengatakan bahawa akan berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka, dan seorang lain pula mengatakan bahawa akan menjauhkan diri dari wanita-wanita, dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Pada ketika itu Nabi SAW telah datang, dan bersabda:
(( أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ للهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لـٰكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِر، وَأُصَلِّي وَأَرْقُد، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاء، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي ))
“Kamukah yang telah berkata begini dan begini (sebagaimana yang mereka katakan sebentar tadi), DEMI ALLAH, aku adalah orang yang paling takut dan bertaqwa kepada Allah dari kalangan kamu semua, akan tetapi AKU BERPUASA dan BERBUKA, AKU SOLAT (malam) dan AKU BERBARING (tidur), AKU JUGA MENGAHWINI WANITA-WANITA, Sesiapa yang benci akan sunnahku, maka bukan dari kalanganku (yakni bukan umatku).”
[H.S.R Al-Bukhari 5063, Muslim 3384, Ahmad 13568, An-Nasa’I 6/60]
Hadis panjang ini jelas menunjukkan kepentingan mengikut sunnah Nabi SAW, termasuk CINTA MAKHLUK MENGIKUT SALURAN YANG BETUL, iaitu BERKAHWIN.
Dalam hadis lain juga disebut GALAKAN BERKAHWIN IAITU SALURAN BETUL UNTUK CINTA MAKHLUK, hadis berbunyi:
(( يَا مَعْشَرَ الشَّبَاب، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَر وَأَحْصَنُ لِلْفَرَج وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْم فَإِنَهُ لَهُ وِجَاءٌ ))
“Wahai sekalian pemuda-pemuda: Sesiapa di antara kamu yang mampu nikah (disebut dalam syarah makna hadis ini, “Nikah” bererti jima’, nafkah dan mahar”), maka berkahwinlah; kerana sesungguhnya ia (kahwin) lebih menundukkan pandangan, lebih menjaga kemaluan. Dan jika dia tidak mampu, maka (digalakkan) berpuasa; itu adalah penjagaan baginya.”
[H.S.R Al-Bukhari 1905, Muslim 1400]
Sunnah Nabi SAW adalah sesuatu yang syumul (lengkap dan sempurna) meliputi segala aspek kehidupan di dunia dan untuk akhirat. Cinta Makhluk dan pelbagai lagi isu kehidupan semuanya terkandung dalam Sunnah Nabi SAW, MAKA JIKA KITA MENGABAIKANNYA, KITA TIDAK MENGIKUT SUNNAH, JIKA TIDAK MENGIKUT SUNNAH, BAGAIMANA HENDAK MEMPEROLEH CINTA ALLAH?!
Kesimpulannya, Cinta Allah adalah Cinta Teragung, namun dalam membicarakannya adakah kita di landasan yang betul atau sekadar mengikut fikiran kita tanpa berpandukan KitabNYA dan Sunnah RasulNYA, yang telah jelas menerangkan perkaitan antara Cinta Allah, Cinta RasulNYA dan Cinta Makhluk yang menjadi pecahan kecil dalam Cinta RasulNYA…
Akhir sekali, tiadalah lagi masalah atau perbalahan tentang Cinta Allah adalah segala-galanya, bahkan dianjurkan sedikit pengubahsuaian dari segi ungkapan ayat tersebut iaitu “AKU MENCINTAI ALLAH DAN RASULNYA! DAN, AKU MENCINTAI MAKHLUK PULA MENGIKUT ANJURAN RASULNYA BERLANDASKAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH!~”
Namun, jangan disalahertikan pula kandungan artikel ini, bukan untuk mempromosikan Cinta Makhluk tanpa batasan, segala-galanya telah diterangkan sebelum ini dalam artikel “Cinta Halal dan Hikmah Istikharah” berkenaan cara-cara cinta makhluk yang sebenarnya mengikut landasan Al-Quran dan Hadis. Sila rujuk artikel tersebut untuk mengetahuinya secara lebih lanjut.
Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment